Dunia sentiasa berputar mengikut paksinya begitu juga dengan kehidupan, sekiranya kita leka dengan apa yang diperintahkan maka beringatlah dunia hanya sementara, hanya seketika waktu untuk dimusnahkan oleh pencipta-Nya. Maka dengan itu manusia hanya mampu melihat tanpa sempat untuk bertaubat kepada Allah S.W.T. Kita wajib melakukan perubahan walaupun sedikit sekurang-kurangnya kita berusaha untuk berubah dan meletakkan perjalanan kehidupan pada landasan yang betul. Moga perubahan yang kita lakukan beroleh ketenangan serta dirahmati oleh Allah S.W.T.-iluvislam

Wednesday, January 18, 2012

Dunia Dakwah


Inilah realiti dunia dakwah yang terpaksa kita terokai
Yang jalan sangat panjang  takkan pernah buat langkah kita berhenti
dihampar permaidani onak duri pedih  melaluinya
kotak minda kita sarat dengan memikirkan ummat
Seluruh jiwa kita takkan reda dari badai ribut dan taufan
Peluh kita jarang sekali kering terkejar-kejar sana sini

Kita takkan dibalas dengan wang ringgit tapi poket kering
Kita takkan dihargai dengan pujian tapi dilempar dengan cacian
“Takde orang nak belanja kita makan padahal kita penat2 sebab diorang”
Tak ramai nak kawan dengan kita tapi musuh pulak bertambah-tambah
Selalu jauh dari keluarga tersayang padahal orang lain dah honeymoon sana sini

Tapi ni la jalan yang Allah cakap dalam Al-quran
Inilah jalan yang Rasulullah lalui sampai tumpah darah baginda
Dan inilah jalan yang para sahabat,tabi’ dan tabi’in perjuangankan
Jalan ni la yang ulama’ begitu cintakan sampai nafas yang terakhir
Jalan ni jugalah yang dipilih pencinta syurga dan dipertahankan hingga syahid

Dalam masa yang sama kita tetap merungut tak henti-henti
Jalan ni buat kita mengeluh penat hampir setiap hari
Kita mengaduh sakit-sakit badan minta simpati
Keringat dan air mata spontan mengalir sendiri
Rasa nak berhenti dan terpikir nak larikan diri

Ketahuilah sahabatku inilah jalan dakwah yang kita pilih
Merungutlah sebanyak mana yang kamu mahu tapi jalan dakwah tetap berliku
Berilah alasan apapun namun inilah realiti dunia dakwah yang takkan sepi dengan mehnah
Kesakitan dan kesengsaraan adalah perkara biasa bahkan menjadi elemen wajib dalam perjuangan
Menangislah semahumu malah biar bermandi peluh kerana itu semua tanda kau cinta Dia dan kekasihNya
Larilah dari perjuangan kerana bukan perjuangan menuntut kita tapi kitalah yang perlukan perjuangan

Tahukah dikau apa janji tuhan buat penolong agamaNya dalam kitab suci itu?
Lupakah dikau apa pesanan nabi buat ummatnya dalam hadith tinggalan baginda?
Ingatkah kau lagi pada kaedah usul fiqh yang menuntut kita tsabat dalam perjuangan ni?
Renungilah kembali apa fatwa yang ulama’ katakan tentang kewajipan kita sebagai ISLAM…
Tak kasihankah kau pada saudara kita yang terseksa disana saban waktu meminta bantuan kita?

Aku yakin dan pasti kerana fikirkan persoalan diataslah buat kau pilih jalan dakwah ini
Seorang daie pasti kuat dan mampu menggalas beban ini sebab itu kau dipilihNya
Lalu kembalilah sahabatku bangkit dari perhentianmu dan langkahlah dengan semangat baru
Aku, dia, mereka semua dan mungkin kamu juga sedia menjadi ‘amilin dalam agamaNya kerana;
Terlalu rindukan islam kembali tertegak di tanah tempat kita berpijak 

Friday, January 13, 2012

Ayuh Bangkitlah Mahasiswaku!

Di manakah kalian ketika ini? Terlalu sibukkah kalian? Apakah yang sedang kalian fikirkan ketika ini, di saat umat ini sedang memanggil nama-nama kalian? Lalu kalian hanya mampu melihat di kaca media, kalian melihat dalam aman dan damai, kalian melihat kemudian kalian pergi. Ya, mungkin rasa sakit di dada kalian tatkala melihat umat ini disakiti lalu apa yang kalian boleh lakukan, kalian hanya terdiam, ulang lagi apa yang kalian boleh lakukan?Kalian hanya mampu terdiam…

Wahai mahasiswaku, tidakkah kalian mengetahui saat Rasulullah s.a.w. mendapat wahyu pertama, menggigil seluruh tubuh baginda seperti dirasuk, kesejukan, seolah-olah baginda tidak mampu mengawal dirinya? Berat terasa oleh baginda menanggung segala penderitaan umatnya, “Sungguh telah datang kepadamu seorang Rasul dari kaummu sendiri, berat terasa olehnya penderitaanmu, sangat menginginkan (keimanan dan keselamatan) bagimu, amat belas kasihan lagi penyayang terhadap orang-orang mukmin.” (9:128)

Wahai mahasiswa seluruhnya, betapa dunia hari ini memerlukan kalian, di saat semua manusia memanggil kalian untuk membebaskan tanah milik mereka, umat ini membutuhkan kalian untuk berjuang dan berkorban, bukan lagi dalam bersenang-senang seadanya. Ayuh, kobarkan semangat kita untuk bangkit, keluarlah kita dari kelompok kejahiliahan kepada kebenaran.

Wahai mahasiswa yang dikasihi, pertama-tama ingin saya mengajak kalian untk melakukan perubahan dalaman, ya, dalaman iaitu hati kita. Masih ingatkah kita pada ayat Allah, “Maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketakwaannya. “ (91:8) Jalan yang ditunjukkan Allah untuk hati ini ada dua iaitu kefasikan dan ketakwaan, lalu beruntung orang yang menempuh jalan ketakwaan seperti sambunganNya pada ayat yang seterusnya, “Sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu.” (91:9) Ketika kalian memilih jalan ini maka Allah memuji kalian lantaran daripada pilihan kalian sendiri. Ya, memang sukar untuk berada di jalan ini kerana tidakkah kalian tahu bahawasanya kepayahan dan kepahitan untuk berada di jalan ini akan diganjari dengan ganjaran yang tidak mampu dibayar sesiapa pun melainkan Allah? Maka beruntunglah kalian, beruntunglah kalian.

Seterusnya, dalam melakukan perubahan internal kalian masih belum terlepas daripada tanggungjawab kepada umat ini. Cukupkah sekadar perbaikan diri pada kalian sedangkan di sekitar rumah kalian masih banyak sampah-sampah yang perlu dibersihkan, banyak orang-orang yang masih tidak lena tidurnya lantaran kelaparan, namun yang kalian lakukan hanya melihat melalui tingkap rumah tanpa melihat keluar apatah lagi?

Oleh itu, semua mahasiswaku di seluruh dunia, di sinilah peranan kita selaku pemuda, selaku anggota masyarakat yang bergelar mahasiswa. Ayuh mari bersama-sama kita rapat saf, jalinkan silaturrahim sesama kita, membentuk satu saf yang kuat, berdaya saing dan tahan ujian untuk membawa tugas yang dinamakan amar ma’ruf nahi mungkar atau dakwah. Seperti yang diamanahkan Allah pada kita semua, “Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma’ruf dan mencegah dari yang munkar; merekalah orang-orang yang beruntung.” (3:104)

Ya, kalianlah orang-orang yang beruntung yang dimaksudkan Allah kerana kalian telah membawa dua perubahan yang besar iaitu internal dan external. Akhir penulisan ini, saya menyeru semua mahasiswa seluruhnya di manapun kalian bersaksikan pujian Allah di dalam ayat ini pada kita, bersungguh-sungguhlah untuk berubah, bersungguh-sungguhlah membina diri kerana kalian melakukan amar ma’ruf nahi mungkar. Kalian berda’wah kepada manusia untuk mengenal Allah dan kerana kalian adalah agent of change kepada diri, keluarga, masyarakat, negara, bahkan dunia. ALLAHUAKBAR!!!

Saturday, January 7, 2012

7 Maratibul Amal


Al-Syeikh Sa’id Hawwa menyebut bahawa maratib (peringkat) amal yang dituntut adalah:

1.Individu muslim hendaklah memperbaiki dirinya sehingga memiliki anggota tubuh badan yang kuat, akhlak yang suci, daya intelektual yang tinggi (muthaqqaf), keupayaan untuk menguasai suasana aqidah yang bersih, ibadah yang benar, berjihad dengan dirinya,menjaga waktunya, teratur hidupnya, mampu memberi manfaat kepada orang lain dan setiap ikhwah hendaklah berusaha untuk mencernakan tuntutan ini dengan kesungguhan.

2.Membentuk rumahtangga muslim sehingga keluarganya dapat menampung fikrah yang dibawanya, memelihara adab-adab Islam dalam setiap urusan rumahtangganya, memilih isteri yang solehah dengan memberikan panduan kepada hak dan tanggungjawabnya, mendidik anak-anak dengan sebaik-baiknya.

Begitu juga dengan pembantu rumah, membesarkan mereka dalam suasana Islam dan setiap ikhwah hendak berusaha dengan satu kesungguhan untuk memenuhi tuntutan ini.

3.Memberi panduan kepada masyarakat dengan menyebarkan dakwah dengan baik dan menghapuskan segala kemungkaran, mengajak kepada yang ma’ruf, berlumba-lumba ke arah kebaikan, menjadi unsur yang dominan dalam masyarakat sehingga dapat menguasai pendapat am (public opinion) yang disandarkan dengan pandangan Islam dan menghidupkannya dalam kehidupan am. 

4.Membebaskan negara dari belenggu pemerintahan yang bukan Islam dalam bidang siyasah (politik), iqtisad (ekonomi) dan ruh (kerohanian).

5.Membaiki kerajaan sehingga menuruti Islam yang sebenarnya serta berkhidmat sebagai khadam ummah yang bekerja untuk kepentingan ummah.

Antara sifatnya adalah sifat belas terhadap rakyat, keadilan sesama manusia dan berjimat dalam urusan perbendaharaan dan ekonomi negara.

Menjadi kewajipan negara ini pula untuk menjamin keamanan, perlaksanaan system perundangan pendidikan sehingga melahirkan kekuatan, menjaga kesihatan am dan sebagainya. 

6.Mengembalikan penyatuan umat Islam secara keseluruhan dengan membebaskan negara yang dijajah, mendekatkan budaya antara kaum dan berusaha untuk mengembalikan system khilafah yang telah dimusnahkan.

7.Berusaha untuk mewujudkan cirri “ustaziyat al-‘alam” (penguasaan alam) dengan penyebaran dakwah di segenap pelusuk dunia ini sehingga tidak ada lagi fitnah dan meletakkan al-Din keseluruhannya adalah milik Allah.

10 MUASAFAT TARBIYYAH


Muslim yang ingin mempersiapkan diri dalam perjuangan Islam perlu memperbaiki dirinya agar sentiasa terkehadapan daripada manusia lain. Risalah Islam yang syumul ini hendaklah difahami dengan membentuk diri yang syumul juga. Maka hendaklah diteliti di sini tentang aspek-aspek seorang da’ie Muslim dalam rangkanya untuk menjadi seorang Muslim yang sempurna. Sifat-sifat yang perlu ada pada diri ialah:


1) Kuat tubuh badan (Qawiyyal Jism)

Dakwah adalah berat pada tanggungjawab dan tugasnya, maka di sini perlunya seorang da’ie itu tubuh badan yang sihat dan kuat. Rasulullah saw menitikberatkan soal ini, sabdanya:

  "Mukmin yang kuat itu lebih baik dan lebih dikasihi Allah dari mukmin yang lemah,  tetapi pada keduanya ada kebaikan."  

Kita juga hendaklah sentiasa memeriksa kesihatan diri, mengamalkan riadah dan tidak memakan atau minum suatu yang boleh dan diketahui merosakkan badan.


2) Akhlak yang mantap (Matinul Khuluq)

Akhlak kita ialah Al-Quran dan ianya terserlah pada diri Nabi saw. Telah dijelaskan beberapa unsur oleh Imam Al-Banna dalam kewajipan seorang da’ie iaitu bersifat sensitif, tawadhu’, benar dalam perkataan dan perbuatannya, tegas, menunaikan janji, berani, serius, menjauhi teman buruk dan lain-lain.


3) Fikiran yang berpengetahuan (Mutsaqqafal Fikri)

Seorang da’ie perlu berpengetahuan tentang Islam dan maklumat am supaya mampu menceritakan kepada orang lain perihalnya di samping perlu bersumberkan kepada Al-Quran dan Hadis serta ulama’ yang thiqah. Pesan Imam Banna: 

"Perlu boleh membaca dengan baik, mempunyai perpustakaan sendiri dan cuba menjadi pakar dalam bidang yang diceburi."

Selain itu, seorang da’ie perlu mampu membaca Al-Quran dengan baik, tadabbur, sentiasa mempelajari sirah, kisah salaf dan kaedah serta rahsia hukum yang penting. 


4) Mampu berusaha (Qadiran ala Kasbi)

Seorang da’ie walaupun kaya, perlu bekerja. Dia juga tidak boleh terlalu mengejar jawatan dalam kerajaan. Dalam keadaan tertentu, meletakkan jawatan dan meninggalkan tempat kerja mengikut keperluan dakwah lebih utama dari gaji dan pendapatan yang diterima. Selain itu, dia hendaklah sentiasa melakukan setiap kerja dengan betul dan sebaiknya (ihsan). Dalam soal kewangan, menjauhi riba dalam semua lapangan, menyimpan untuk waktu kesempitan, menjauhi segala bentuk kemewahan apatah lagi pembaziran dan memastikan setiap sen yang dibelanja tidak jatuh ke tangan bukan Islam adalah beberapa perkara penting yang perlu dititikberatkan dalam kehidupan.


5) Akidah yang sejahtera (Salimul Aqidah)

Seorang da’ie semestinya redha Allah sebagai Tuhan, Islam sebagai agama dan Muhammad saw sebagai Nabi dan Rasul yang terakhir. Sentiasalah muraqabah kepada Allah dan mengingati akhirat, memperbanyakkan nawafil dan zikir. Di samping itu, jangan dilupakan tugas menjaga kebersihan hati, bertaubat, istighfar, menjauhi dosa dan syubhat.


 6) Ibadah yang betul (Sahihul Ibadah)

Seorang da’ie perlu melakukan ibadat yang meninggikan roh dan jiwanya, perlu belajar untuk membetulkan amalannya dan mengetahui halal dan haram dan tidak melampau atau berkurang (pertengahan) atau dengan kata lainnya bersederhana dalam setiap urusan dalam kehidupannya.


7) Mampu melawan nafsu (Mujahadah ala Nafsi)

Seorang da’ie perlu mempunyai azam yang kuat untuk melawan kehendak nafsunya dan mengikut kehendak Islam di samping tidak menghiraukan apa orang lain kata dalam mempraktikkan Islam yang sebenarnya. Perlulah diingatkan bahawa dai'e mungkin melalui suasana sukar yang tidak akan dapat dihadapi oleh orang yang tidak biasa dengan kesusahan.


 8) Menjaga waktu (Haarithun ala Waqtihi)

Sentiasa beringat bahawa waktu, nilainya lebih mahal dari emas, waktu adalah kehidupan yang tidak akan kembali semula. Mengimbau kembali sejarah di zaman dahulu, para sahabat sentiasa berdoa agar diberkati waktu yang ada pada mereka.


9) Tersusun dalam urusan (Munazzamun fi syu’unihi)

Untuk manfaatkan waktu dengan baik, maka timbulnya keperluan kepada penyusunan dalam segala urusan. Gunakanlah segala masa dan tenaga tersusun untuk manfaat Islam dan dakwah.


10) Berguna untuk orang lain. (Nafi’un li ghairihi)

Da'ie umpama lilin yang membakar diri untuk menyuluh jalan orang lain. Da'ie adalah penggerak kepada dakwah dan Islam. Masa depan Islam, hidup dan terkuburnya Islam bergantung kepada da’ie. Amal Islam seorang da’ie ialah untuk menyelamatkan orang lain daripada kesesatan. Da'ie akan sentiasa merasa gembira bila dapat membantu orang lain. Paling indah dalam hidupnya ialah bila dapat mengajak seorang manusia ke jalan Allah.